Rabu, 26 Januari 2011

MENDAKI KEPUNCAK DUNIA




Mendaki ke puncak jiwa merupakan satu perjalanan yang benar-benar mendidik jiwa dengan kemahuan yang tinggi. Kita bukan saja letih fizikal tetapi jiwa kita juga akan dihurungi segala kelemahan, putus asa, jemu, rasa tak mampu dan sebagainya. Mencabut segala kelemahan ini dari diri kita akan menjadikan kita manusia yang luar biasa. Mencabut segala perasaan ini memerlukan kejelasan matlamat dan iradah yang tinggi. Iradah ini kadang-kadang boleh dipaksa; kalau dah mendaki selama 25 Tahun, takkan kita akan berpatah balik.

Dalam keadaan yang tertekan dan terpaksa ini kita kan membangkitkan kekuatan emosi kita untuk melawan segala kelemahan yang melilit jiwa. Satu lilitan demi satu lilitan kita rungkaikan hingga jiwa kita terasa bebas dan mampu melonjakkan keazaman dan daya juang. "Untuk menjadi manusia luar biasa, kita perlu keluar dari perangkap orang biasa; makan minum kita, tidur baring kita dan persekitaran kita mestila luar biasa hingga menimbulkan kekuatan luarbiasa pada diri kita. Kesusahan dan tekanan akan mengasah azam dan daya juang serta membangunkan kekuatn untuk menongkah arus kehidupan yang penuh kesukaran dan halangan.

Kelemahan umat Islam hari adalah rentetan dari kisah-kisah kelemahan jiwa. Ketika Islam bertapak di Andalusia, Abdul Rahman Al Ghafiqi yang merupakan gabenor Islam pada masa itu (Zaman pemerintahan Umar Ibnu 'Aziz), pernah dipanggil seorang tokoh zimmi untuk mengadap Abdul Rahman (Salah seorang Tabi'in). Lalu ditanyakan kepadanya "Kenapa raja kamu, Charles Martel tidak cuba menyerang kami atau tidak cuba membantu pemerintah-pemerintah wilayah untuk menyerang kami?"



Dengan tenang ahli zimmi itu menjawab; "Wahai gabenor, oleh kerana engkau telah tunaikan segala janjimu kepada kami, kini menjadi tanggungjawab saya pula untuk memberikan jawapan jujur kepada soalan engkau. Pemimpin kamu Musa bin Nusair telah mengukuhkan cengkamannya di sepanyol, kemudian dia mula mengalihkan tumpuan untuk menakluki Pergunungan Pyrennes yang memisahkan antara Andalus dan negeri kami yang indah." Ahli zimmi menyambung, "Apabila mengetahui hasrat tersebut, pemerintah wilayah-wilayah dan paderi mengadu kepada raja kami; 'Tuanku, telah sekian lama kami dan ank cucu kami menanggung kesedihan, semenjak sekian lama kami mendengar tentang umat Islam...kami bimbang mereka akan menyerang kami dari arah timur tetapi kini mereka mara dari arah barat. Seluruh sepanyol telah mereka miliki beserta seluruh kelengkapan yang ada di sana. Selepas itu mereka berjaya menakluk gunung yang memisahkan kami dan mereka. Sedangkan bilangan mereka kecil dan senjata mereka sedikit. Kebanyakan mereka tidak mempunyai perisai untuk mempertahankan diri daripada hayunan pedang bahkan kebanyakan mereka tidak mempunyai kuda untuk berperang."

"Raja Charles melepaskan pandangan jauh-jauh lalu berkata; "Saya telah meneliti sedalam-dalamnya masalah ini. Mereka kini ibarat air bah yang menelan apa saja yang menghalang arusnya, malah arus itu menghanyutkan segala-galanya. Saya melihat mereka ini adalah manusia yang mempunyai pegangan (Iman) dan keikhlasan. Dengan 2 perkara itu mereka tidak memerlukan jumlah yang ramai atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda. Tetapi kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka sudah miliki amah(orang gaji) dan khadam. Apabila mereka mula berlumba merebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya mengalahkan mereka dengan cara yang mudah dan tak perlu bersusah payah."

Ya, umat Islam ketika itu memiliki kekuatan jiwa untuk berpegang pada prinsip dan nilai-nilai Islam serta tidak terpengaruh kepada jiwa. Itulah rahsia kekuatan mereka iaitu kekuatan jiwa dan kita hari ini dilanda kelemahan jiwa hingga musuh dengan begitu mudah mengalahkan dan menghina kita. Lihatlah di palestin; siapa membantu siapa; Siapa yang dibantu oleh kerajaan Mesir? Kenapa mereka tidak membantu saudara seaqidah mereka?. Apa pula yang kita lakukan??PENULIS : ABU HANIFAH


BAHAGIAKAH HIDUP TANPA IMAN


Pernah Seorang yang tidak mempercayai adanya Tuhan didalam kehidupan manusia bertemu dengan seorang yang beriman akan kewujudan Allah. Kata lelaki 'Freethinker' itu: "Aku tidak percaya adanya tuhan dalam kehidupan ini". Lalu lelaki beriman itu bertanya "Jika kamu menaiki sebuah kapal dan kapal itu karam lalu kamu terumbang ambing ditengah lautan..apa yang kamu harapkan?" Jawab lelaki tersebut: "Aku berharap aku akan selamat kedaratan". Lalu lelaki beriman itu bertanya pula: "kepada siapa kamu berharap?". Lelaki yang kononnya tidak bertuhan itu terdiam tanpa sebarang jawapan.

Itulah fitrah keinsanan, jiwa kita tidak mungkin kosong dari kepercayaan akan adanya suatu yang mentadbir dan menguruskan kehidupan manusia dan alam sekeliannya; tempat kita sandarkan harapan, tujukan doa dan tempat kita mengadu ketika saat-saat tertekan dengan kehidupan yang menghimpit jiwa. Ada manusia yang menafikan hakikat ini hingga menjadikannya seorang yang tidak tentu arah tujuan; Dia kehilangan sumber kekuatan setiapkali berdepan dengan gelombang kehidupan yang menggoncang jiwa dan meruntuhkan semangat juangnya. Insan seperti ini kadang-kadang kecewa dengan kehidupannya sehingga melihat 'hidup' itu sebagai satu bebanan.



Seorang penyair zaman jahiliyyah pernah melaungkan syairnya yang bermaksud;

Alangkah celakanya hidup ku
Aku melihat kematian itu seperti unta rabun dimalam hari
Ia merempuh siapa saja yang menghalang perjalanannya
Mereka yang terselamat terlanjut usianya sepertiku
Ku ketahui apa yang sedang ku tempuhi
namun apa yang akan ku tempuhi esok belum semuanya pasti

Lihatlah kekecewaan lelaki yang berusia 80an ini; begitu kecewa dengan kehidupannya.
Hari yang ditempuhinya umpama beban-beban yang bertambah setiapkali umurnya bertambah.

Alangkah bahagianya mereka yang beriman. Apa tidaknya, mereka sandarkan segala hajat dan harapan mereka kepada Yang mencipta dan mentadbir alam yang terbentang luas ini. Allah yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Puisi Untukmu Sahabatku....

Apalah Hidupmu?

Sahabatku...

Siapakah yang menciptakan dirimu,
Dari tiada kepada ada,
Tiada meniru dan tiada sekutu,
Tanpa sebarang silap dan cela?

Diciptakan dirimu dari sehina-hina penciptaan,
itulah air mani yang dihina-hinakan,
Tetapi dipelihara dirimu dengan sebaik-baik pemeliharaan,
di dalam rahim ibu dirimu ditempatkan,
Kemudian diangkat darjatmu semulia-mulia ciptaan,
amanah diberi sedang panduan hidup disediakan,
Diatur hidupmu dengan sebaik-baik pengaturan,
dijadikan engkau hamba tetapi hidupmu merdeka...

Tetapi mengapa sahabatku,
Engkau sering tertipu,
Mengongkong diri dengan nafsumu,
Makhluk lebih engkau syukuri berbanding Penciptamu?

Apabila pertolongan dan nikmat mendatangimu,
Terhutang budi kepada manusia engkau melulu,
Sedangkan segalanya adalah dari Yang Satu,
Melalui makhlukNya Dia sampaikan kepadamu.
Oh, alangkah engkau telah menghargai sesuatu yang palsu!
Sungguh, inilah yang sering mengecewakanmu,
menghimpun harapan kepada yang tidak mampu,
sediakan manfaat mahupun mudharat buatmu...

Duhai sahabatku,
Bukankah Yang Maha Mendengar sedia mendengar ritihanmu,
sedia mendengar rintihanmu,
sedia mendengar puji dan pujaan darimu?

Merintihlah sahabatku,
kepada Yang Maha Penyayang,
Mintalah HidayahNya sahabatku,
daripada Yang Maha Pemurah,
Bersyukurlah sahabatku,
kepada Yang Memiliki segala kesempurnaan,
Carilah ilmu sahabatku,
untuk mengenali Rabb dan Ilahmu...

SUNGGUH, Allahla segalanya buatmu...

Abu Hanifah
3.38



KABUS KERAGUAN




Seringkali keraguan menyebabkan kita tersungkur sedangkan pada mulanya kita begitu yakin dengan jalan yang kita pilih. Langkah kita tiba-tiba menjadi lemah, semangat menurun lantaran kabus keraguan mula menutupi awan pemikiran kita sehingga matlamat kita yang tadinya jelas, sekarang mula kabur dan kita mula kehilangan fokus.

Bukankah keraguan itulah yang sering menjadikan kita menghabiskan sebahagian besar kehidupan kita untuk mencari suatu yang tidak pasti.

Sahabat-sahabat generasi pertama yang mendapat didikan terus dari Rasulullah SAW begitu yakin dengan apa yang mereka cari. Tidak ada masa untuk berehat dan bermain-main. Masa terlalu berharga bagi mereka. Terlalu berharga untuk mereka sia-siakan begitu saja. Setiap ruang dan peluang digunakan untuk mencari keredhaan Allah SWT. 

Keyakinan mereka begitu mendalam, inilah rahsia hingga terbangunnya suatu generasi yang begitu unik Keimanan dan Perjuangannya. 
PENULIS : ABU HANIFAH


Pernah suatu hari Rasulullah SAW menziarahi Harithah yang sedang sakit. Lalu Rasulullah SAW bertanya: "Bagaimana kamu pagi ini ya Harithah?" Lalu jawab Harithah: "Alhamdulillah dia beriman dengan keimanan yang sempurna". Lalu kata baginda Rasulullah SAW:"Hati-hati denga apa yang kamu ucapkan ya Harithah, tiap suatu itu ada alamatnya/tandanya...apa tandanya keimanan kamu?" Jawab Harithah: "Aku bangun pagi dan aku nampak syurga di kananku dan neraka di kiriku dan aku di atas titian( As Tsirat)" Lalu balas Rasulullah SAW "Benarlah iman kamu". Inilah keimanan para sahabat, begitu jelas dan yakin, tidak sedikitpun kabus keraguan yang menutupi awan pemikirannya. Mereka begitu yakin dengan apa yang Allah janjikan. Dalam suatu peperangan, ketika tentera Islam berdepan dengan tentera musuh yang begitu ramai, ada sahabat yang terkeluar kata-katanya "ramai sungguh tentera musuh" lalu dibalas oleh Khalid Al Walid " Alangkah sedikitnya mereka apabila dikalahkan oleh Allah SWT".

Keyakinan mereka begitu mendalam. Mereka meyakini setiap janji-janji Allah SWT yang berupa janji kemenangan dan pertolonganNya termasuk azab dan ancamannya. Keyakinan ini telah menghidupkan jiwa mereka. Dengan jiwa yang hidup ini mereka terus memburu janji-janji Allah tanpa berpaling ke belakang. Seorang sahabat Rasul, ketika itu perang Badar sedang berkecamuk. Rasulullah SAW bersabda "barangsiapa berperang lalu mati syahid, maka baginya syurga." Sahabat itu kemudian bertanya kepada Rasulullah SAW "Jadi di antara aku dan syurga ialah kematian?" Jawab baginda SAW "benarlah kata mu" Lalu kata pemuda tersebut yang ketika itu sedang memegang 3 biji kurma "Kalau aka tetap nak habiskan 3 biji kurma ini, bila aku akan dapat masuk ke syurga Allah" Lalu dilemparkan kurmanya itu dan ia terus meluru ke arah musuh dan akhirnya ditaqdirkan Allah ia mati syahid...dan itulah yang paling dihajatinya.

Bagaimana dengan kita? setakat mana janji-janji Allah SWT mempengaruhi sikap hidup kita?

Oleh Abu Umar

SEMPITNYA DUNIA




Dunia yang luas menjadi sempit kerana rosaknya ahklaq manusia.

Saya selalu membayangkan dunia di bawah sinaran Iman. Alangkah indahnya hidup ini jika semua manusia beriman kepada Allah hingga mereka dapat membezakan antara hak mereka dan yang bukan haknya, melihat kebaikan sebagai kebaikan disamping membenci kejahatan dan kemungkaran.

Jika inilah dunia tempat kita tinggal tentunya kehidupan ini begitu indah dan membahagiakan namun ini hanyalah sekadar impian. Mungkin mustahil untuk semua manusia beriman tetapi tentu bahagia jika dapat hidup di kalangan mereka yang beriman dengan keimanan yang sebenarnya. Kalaupun tak mungkin semua manusia ini akan beriman setidak-tidaknya sinar kebahagiaan ini dapat disebarkan hingga cahayanya dapat dirasai oleh mereka yang tidak beriman. 

Rasulullah SAW telah menyebarkan sinar keimanan ini kepada meraka yang hampir dengannya hingga akhirnya cahaya itu terus tersebar hingga 2/3 dunia. Dari pemimpin masyarakat hinggalah kepada budak gembala kambing mengenal hak mereka. Lihatlah bagaimana suatu hari Saidina Umar bertemu dengan seorang budak gembala kambing lalu diberikan tawaran harga yang tinggi kepada kambing jagaannya. Kanak-kanak itu enggan walaupun diyakinkan bahawa tidak ada sesiapa yang akan mengetahuinya bahkan kanak-kanak tersebut lalu bertanya kepada Saidina Umar (yang menyamarkan diri sebagai orang biasa) "Fa aina Allah" (maka dimana Allah). Soalan ini menjadikan Saidina Umar terdiam kagum dengan keimanannya. Tetapi lihatlah sekarang...segala-galanya tidak selamat. Jika ada kesempatan sahaja semuanya akan dikebas orang hatta anak-anak gadis menjadi mangsa kerakusan nafsu manusia bahkan abang, ayah atau datuk yang diharapkan menjaga kehormatan mereka juga mengambil kesempatan ke atas anak gadis jagaan mereka.....harapkan pagar, pagar makan padi.

Kerosakan akhlaq manusia ini menjadikan dunia yang luas ini semakin sempit dan meyesakkan nafas untuk kita terus hidup dan meneguk erti kebahagiaan.



DIMANA PERSANDARAN KITA




Hidup ini memang menyulitkan. Setiap hari jiwa kita akan teruji dan perjalanan hidup terasa semakin hari semakin sukar. Inilah kehidupan, "Dialah (Allah) yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah diantara kamu yang paling baik amalannya.".

Ya, hidup ini adalah ujian. Menafikan hakikat ini akan menjadikan kita orang yang sentiasa kecewa dan putus asa. Menerima hakikat ini menggambarkan kebijaksanaan. Kebijaksanaan yang menonjolkan kepimpinan dan ketokohan kita sebagai hamba Allah SWT.

Sememangnya kegagalan itu sering mencederakan jiwa kita. Hati kita terluka dan meninggalkan bekas terlalu lama. Bahkan ada ketikanya, ujian hidup yang dilalui terasa begitu berat dan diluar kemampuan hingga kita kehilangan pendirian dan arah tuju.




Ujian itu umpama ombak ganas yang tidak pernah mungkir untuk menerjahkan kekuatannya pada pantai yang lembut dan tidak berdaya. Namun lebih sulit lagi kedatangan ujian ini dalam bentuk yang sentiasa berubah dan dalam masa yang tidak menentu. Jiwa kita tidak akan tenang sehinggalah kita menerima lumrah kehidupan ini dengan jiwa yang pasrah dan sabar. Namun kepasrahan dan kesabaran itu tidak akan muncul hinggalah kita benar-benar menyandarkan seluruh jiwa dan harapan kita pada Pemilik kehidupan, Pemilik jiwa dan Pemilik alam yang menentukan rintangan dan perjalanan hidup kita segalanya. Kita tidak akan merasakan ketenangan sehinggalah kita benar-benar merasai hakikat kehambaan diri serta kekuasaan Ilahi.

Salah persandaran akan menjadikan kita manusia kecewa dengan segala kelemahan dan keputus asaan. Namun memilih persandaran yang betul memerlukan ilmu yang benar dan proses memahami dan mengenali hidup dan kehidupan yang sedang kita tempuhi.
PENULIS : ABU HANIFAH