Ahad, 23 Januari 2011

Bila Kehidupan Berbicara




Disaat kita terasing dalam dunia kita sendiri, disaat tidak ada siapa yang menemani kita melainkan kesunyian, keresahan dan kekecewaan. Disaat kita memandang kedepan segala-galanya kabur dan penuh tanda tanya, disaat kita menoleh kebelakang yang terlihat hanyalah dosa dan ketelanjuran.

Disaat jiwa kita benar-benar lemah dan merasakan kebahagiaan bukan lagi milik kita, bahkan kita merasai kehidupan itu sendiri hampir-hampir tidak ada lagi. Ketika inilah, ketika lilin harapan kita hampir padam dan dunia terasa kelam, kehidupan sebenarnya sedang berbicara kepada kita.

Kehidupan sedang berbicara kepada kita tentang kehambaan; tentang kekerdilan kita dan keMaha Berkuasaan Sang Pencipta agar kita sedar diri dan merasakan perlunya untuk kita tunduk dan patuh kepadaNya. Untuk kita bermunajat dan meletakkan pengharapan padaNya

Kehidupan sedang berbicara tentang keinsanan dan kelalaian; betapa mudah untuk kita terlanjur dengan dosa dan betapa perlu untuk kita insaf dan bertaubat.

Kehidupan sedang berbicara kepada kita tentang sabar dan pasrah, agar jiwa kita semakin terbina dan semakin kuat hingga kita akan lebih sanggup melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar dan banyak.

Kehidupan sedang berbicara kepada kita bahawa gagal dan berjaya, kecewa dan bahagia, jatuh dan bangun itu adalah warna-warna dirinya agar kita sedar dimana kita sedang berdiri dan kemana akan kita aturkan langkah kaki kita. (PENULIS : ABU HANIFAH)


JADILAH SEPERTI RAMA-RAMA



Tidak ada salahnya, sekali sekala kita merendahkan diri untuk belajar dari makhluk-makhluk Allah yang kecil. Bahkan itulah yang dituntut kepada kita, dengan kerendahan jiwa barulah kita dapat benar-benar merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT. Allah SWT tentunya tidak menjadi semua ciptaanNya untuk tujuan main-main atau sia-sia. Lukisan alam yang begitu indah ini adalah gambaran seni dan rapinya ciptaan Allah tetapi manusia yang selalu leka dan lupa diri sentiasa lupa untuk bersyukur. Kata Said nursi Badi’uzzaman kita kagumkan lukisan tetapi kita lupa kehebatan Pelukisnya.

Sesungguhnya alam yang terbentang luas ini, kata syed Qutb merupakan kitab Rubbubiyyah yang terbentang. Sekiranya kita membuka lembarannya satu demi satu maka kita akan dapat memahami kehebatan Allah SWT. Bahkan ilmu Allah pun tak mampu kita taksir.

Cukuplah kali ini kalau kita melihat rama-rama. Makhluk kecil yang selalu kita terlepas pandang kewujudannya. Ya, rama-rama kecil yang berterbangan di sana sini. Mungkin tidak ramai yang tak sempat untuk mengkagumi seni dan keindahannya. Warna dan coraknya begitu indah dan serasi.




Saya begitu tertarik dengan gambaran penyair Tunisia, Ahmad Mukhtar yang dikemukakan oleh Muhammad Ahmad Ar Rasyid di dalam kitab dakwahnya iaitu Al Muntalaq. Kata-kata yang ringkas tetapi memiliki makna yang cukup mendalam. Tak hairanlah kalau saya tak jemu-jemu membacanya berulang kali.
  
Tenang dalam diamnya,
Lebih jelas dari orang yang berbicara.

Memang kecantikan rama-rama tidak lagi dapat dinafikan oleh sesiapa jua yang memiliki mata dan jiwa. Tidak ada bunyi yang dikeluarkan tetapi kita sering saja merasakan kehadirannya. Katakan ada seekor rama-rama yang tersesat masuk ke dalam kelas, rumah atau pejabat kita maka seluruh mata akan tertumpu padanya.

Begitulah syakhsiyah seorang mukmin; pendiam, selalu berfikir, merenung dengan tenang, tidak banyak bicara tetapi diliputi kewibawaan yang berpengaruh. Hati-hati merasa terisi dengan kehadirannya, suasana terasa sunyi tanpanya, majlis semakin bermakna melihat ketibaannya dan jiwa-jiwa menumpang ketenangan dari raut wajahnya. Mukmin itu ibarat permata beserta kilauan keindahannya, ketika bersendirianpun cahayanya begitu jelas dan indah maka apatah lagi apabila permata permata itu dikumpulkan makin terserlah dan indah cahayanya. Segala tingkah lakunya adalah qudwah bahkan diamnya pun menjadi sumber tarbiah.



Bila diamnya terlalu lama,
Tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak.

Diam dan istirehat itu adalah sunnah kehidupan, namun seorang mukmin tidak menjadikannya sebagai alasan untuk bermalasan, santai dan lalai melainkan sekadar memenuhi keperluan badani. Bermodalkan ilmu dan keimanan serta semangat dan keazaman, jiwanya sentiasa terdorong untuk beramal.

Namun syaithan tidak pernah mungkir dan lalai dengan janjinya untuk menyesatkan anak-anak Adam. Jiwa seorang mukmin sering tergugah dengan pujian dan sanjungan. Kilauan dunia hampir-hampir menjadikannya lalai dan leka dengan tujuan hidupnya yang hakiki. Namun dengan keimanan yang tertanam dijiwa dan rahmat Allah yang Maha Penyayang sering menjadikannya tersedar dan insaf. Itulah jiwa mukmin, seperti rama-rama yang kadang-kadang terpaku dengan kilauan air yang menjadikannya ta'jub terhadap keindahan dirinya.

Betapa sering ia melihat bayangan dirinya,
Yang terpantul dari riak air,
Seakan-akan bintang yang berkilauan,
Sedang permukaan air adalah cakrawalanya.

Ia terbang mengelilinginya,
Menatapinya dan merindukan seandainya dapat hinggap padanya,
Akan tetapi hampir saja ia binasa tenggelam,
Andai dirinya tidak segera sedar.

Itulah gambaran jiwa yang beriman,
Mustahil membodohi dirinya,
Jelas sekali perbezaan antara kesesatan dan petunjuk baginya.
(PENULIS : ABU HANIFAH)


KEMAHUAN DAN HARAPAN



Saya tidak dapat membayangkan kehidupan tanpa kemahuan dan harapan. Jika ada kehidupan tanpa keduanya tentu kehidupan itu adalah kehidupan yang kosong, hampa, kaku serta tiada warna dan coraknya. Jika ada manusia yang hidup tanpanya tentu kehidupannya terlalu hambar, penuh dengan kekecewaan, sunyi dari ketenangan apatah lagi kebahagiaan. 

Saya tidak sanggup untuk hidup dengan keadaan ini kerana saya tidak dapat menemukan sebarang perbezaannya dengan kematian. Saya tidak melihat sesuatu jiwa itu hidup tanpa ada kebangkitan dan kesedaran kerana bukan fitrah kehidupan itu kaku dan mati. Saya tidak melihat sesuatu itu hidup tanpa perubahan dan pergerakan kerana perubahan & pergerakan ialah nadi kehidupan itu sendiri. 

Namun untuk bangkit dan sedar, untuk berubah dan bergerak modalnya ialah kemahuan dan harapan. Manusia yang tidak memiliki harapan tidak akan melakukan seuatu perubahan untuk dirinya apatahlagi untuk orang lain. Manusia tanpa kemahuan ialah manusia yang bertemu hari hari yang sama di dalam kehidupannya; tidak ada hari-hari yang baru melainkan hari-hari suram yang menjemukan. 
 (PENULIS :ABUHANIFAH )

Tentukan Kebiasaan Hidup Anda, Jangan Biarkan Kebiasaan Menentukan Hidup Anda ( Motivasi )




Setiap kali memulakan kelas diawal tahun saya akan menyampaikan beberapa pesanan kepada pelajar untuk meransang semangat untuk belajar disamping membetulkan beberapa sikap dan pandangan yang salah. 

Saya sering mengingatkan pelajar bahawa kita akan berjaya dan bahagia bukan kerana kita pandai, dapat banyak 'A' dalam peperiksaan, rupa cantik atau segak, keturunan kaya dan sebagainya. Kita akan berjaya apabila kita memiliki sikap atau kebiasaan orang yang berjaya. Tambahan dizaman dimana pendidikan sudah menjadi perniagaan; Sesiapa sahaja layak masuk ke IPT asalkan ada wang. Oleh itu manusia yang berjaya adalah manusia yang memiliki MATLAMAT yang jelas dalam hidup dan bidang yang mereka ceburi. 

MATLAMAT mereka itu sejelas mentari dipagi hari hingga menggesa dan membangunkan sikap dan kebiasaan yang akan mendekatkan mereka pada kejayaan yang ingin mereka capai. Mereka sentiasa MERANCANG masa dan kehidupan mereka supaya hari-hari yang dilalui dan umur yang bertambah semakin mendekatkan mereka kepada MATLAMAT yang ingin dicapai. Berdasarkan MATLAMAT dan PERANCANGAN itu mereka membina PRINSIP hidup yang dapat meneguhkan sikap dan pendirian mereka setiap kali berdepan dengan halangan dan penyimpangan dalam kehidupan dan dalam usaha untuk mencapai MATLAMAT dengan melaksanakan apa yang telah mereka RANCANG.


MATLAMAT, PERANCANGAN dan PRINSIP ini seterusnya membangunkan suatu kepribadian yang terikat dengan kebiasaan-kebiasaan yang akan mengekalkan mereka di atas jalan yang mereka pilih. Steven Covey menulis buku tentang 7 kebiasaan untuk mencapai kejayaan dalam bukunya manakala Dr Ibrahim Hamd Al Qu'ayyid yang juga kagum dengan buku ini lalu mendalaminya dan membandingkannya dengan sumber-sumber Islam. Beliau lalu menemui tulisan Syekh Abdurrahman Bin Sa'di rahimullah. Buku kecil ini benar-benar menambat hatinya kerana kandungannya ringkas tetapi padat dengan ilmu dan pengalaman. Ternyata Dr Ibrahim mendapati motivasi Islam jauh lebih lengkap. Katanya motivasi barat hanya menumpukan sudut mekanikal insani tetapi motivasi Islam turut menjangkau jiwa dan rohani, Dr Ibrahim Al Qu'ayyid menggabungkan pengalaman hidupnya beserta apa yang dia perolehi dari kedua buku ini [7 habits(Steven Covey) dan Sarana-Sarana Penting Untuk Menggapai Hidup Bahagia (Ibnu Sa'di Rahimullah)] lalu menghasilkan bukunya 10 Kebiasaan Manusia Berjaya Tanpa Batasan.

"Kejayaan adalah sejumlah kebiasaan yang harus dilakukan dengan baik kerana kebiasaan dan penerapannya atau pelaksanaannya dalam kehidupan itulah yang akan menentukan keberhasilan atau kejayaan seseoarang baik berkaitan dengan status sosial, kedudukan ataupun keahlian dalam melakukan tugas." Dr Ibrahim A' Qua'yyid.

Kita berjaya kerana kita memiliki kebiasaan yang hebat. Kebiasaan ini terbangun apabila kita melaksanakan suatu sikap atau pendirian secara berterusan hingga ianya menjadi sebahagian dari diri kita yang sebenar. Manusia yang membiasakan dirinya untuk pasrah dan tawakal, dalam apa keadaan dia akan menerima segalanya dengan redha dan alapang dada. Lalu dengan redha dan lapang dada ini ia memulakan langkah pembetulan dan kembali kemedan perjuangan, tentunya berbeza dengan manusia yang cepat putus sa dan kecewa. Manusia yang terbiasa merancang dan menguruskan masa dengan baik dalam apa jua suasana akan meneliti dan merancang masa untuk diperuntukan bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Dia tidak akan terbawa-bawa suatu masalah kecil dalam kehidupannya yang besar dan luas. 


Namun untuk melahirkan kebiasaan-kebiasaan ini bukanlah perkara yang mudah. Ianya memerlukan pemahaman dan latihan. Kata Dr Ibrahi Al Qu'ayyid, kebiasaan itu akan terbina kemas pada diri kita apabila kita memiliki kefahaman atau PENGETAHUAN yang mendalam berkaitan suatu kebiasaan. Kita memahami bagaimana kebiasaan itu akhirnya akan membahagiakan kita. Pengetahuan ini seterusnya menimbulkan KEINGINAN yang kuat untuk melaksanakan kebiasaan tersebut dalam kehidupan. Semakin kerap kita mengulanginya dan semakin AHLI kita dengan selok belok kebiasaan tersebut maka kebiasaan itu akhirnya akan mendarah daging dalam tubuh kita.

Saya pernah cuba untuk terapkan satu kebiasaan pada diri saya. Salah satunya ialah TIDAK BERTANGGUH. Saya tingkatkan pengetahuan saya; kalau saya suka bertangguh apa akibatnya dan apa pula kebaikannya kalau tidak bertangguh. Ternyata Bertangguh adalah satu penyakit jiwa dan tanda lemah keazaman. 

Ketika bangun pagi saya ternampak ada sampah di bawah meja, kalau biasanya saya kan katakan pada dii saya "tak apalah, nanti lepas mandi sebelum pergi kerja saya kan kutip semuanya" tetapi kali ini saya kuatkan keazaman untuk tidak bertangguh lalu saya terus kutip dan masukkan kedalam tong sampah. Perbuatanini nampak kecil tetapi rupa-rupanya ianya membuahkan keseriusan. Kalau dalam perkara ang kecil ini kita perlus serius maka dalam perkara yang lebih besar kita akan lebih serius. Setelah beberapa hari melaksanakan kebiasaan ini saya dapati banyak masalah-masalah yang dapat saya selesaikan. Itu baru satu kebiasaan biasa bukan satu dari 10 yang dikemukakan oleh Dr Ibrahim Al Qu'ayyid.

Kalau kita renungkan pada diri kita ternyata kadang-kadang kita melakukan sesuatu yang merugikan kita kerana kita sudah terbiasa dengannya. kalau kita sudah biasa bertangguh, banyak kerja-kerja kita yang tergendala kerana sikap kita itu. Memang kita tidak suka perkara itu berlaku tetapi kenapa ia masih berlaku? Ternyata kehidupan kita ditentukan oleh kebiasaan-kebiasaan kita yang salah. Oleh itu dengan membetulkan salah satu kebiasaan kita yang salah ini, kita sumpama sedang mengalih pergerakan hidup kita agar berada diatas landasan yang benar.


Saya ingin mengakhiri perbincangan saya ini dengan memtik tafsiran atau gambaran Dr Ibrahim Al Qu'ayyid berkaitan kejayaan yang ingin kita gapai.

"Kejayaan atau kesuksesan bukanlah sekadar konsep, prinsip ataupun pendapat-pendapat yang kita pelajari atau kita pernah dengar dari orang lain. Kejayaan atau kesuksesan ini adalah sebuah PROSES perjalanan dari pengalaman dan keahlian seorang manusia yang berlangsung terus menerus dalam jangka waktu yang panjang.

Oleh itu kata kunci kejayaan adalah usaha manusia dalam melakukan interaksi aktif dengan berbagai situasi dan keadaan yang ada pada waktu dan tempat tertentu sesuai dengan potensi dan kemampuan yang dimilikinya. Kejayaan atau kesuksesan adalah MEMBIASAKAN diri untuk hidup dengan cara tertentu, menghadapi berbagai persoalan dengan langkah yang efektif, membiasakan diri berinteraksi dengan sesama manusia dengan cara tertentu, membiasakan diri berinteraksi dengan masa dan membiasakan diri untuk menjalankan suatu kerjaya, pekerjaan atau tugas secara professional dan tepat.

Dengan kata lain, Kesuksesan itu adalah sejumlah kebiasaan yang harus dilakukan dengan baik kerana kebiasaan dan penerapannya itulah yang akan menentukan keberhasilan seseorang, baik dalam status sosial, kedudukan maupun keahlian dalam melaksanakan tugas.

Kesuksesan adalah sejumlah kebiasaan yang agung dan mulia yang harus dilaksanakan dengan upaya dan peruntukan masa yang besar serta memerlukan adanya kesabaran, tekad dan pengorbanan. Hasil kesuksesan ini merupakan hasil-hasil yang bersifat pasti dan dapat mengubah kehidupan manusia serta menjanjikan masa depannya menjadi masa depan yang istimewa dan berbeza."
(PENULIS : ABU HANIFAH)