Ahad, 23 Januari 2011

Tentukan Kebiasaan Hidup Anda, Jangan Biarkan Kebiasaan Menentukan Hidup Anda ( Motivasi )




Setiap kali memulakan kelas diawal tahun saya akan menyampaikan beberapa pesanan kepada pelajar untuk meransang semangat untuk belajar disamping membetulkan beberapa sikap dan pandangan yang salah. 

Saya sering mengingatkan pelajar bahawa kita akan berjaya dan bahagia bukan kerana kita pandai, dapat banyak 'A' dalam peperiksaan, rupa cantik atau segak, keturunan kaya dan sebagainya. Kita akan berjaya apabila kita memiliki sikap atau kebiasaan orang yang berjaya. Tambahan dizaman dimana pendidikan sudah menjadi perniagaan; Sesiapa sahaja layak masuk ke IPT asalkan ada wang. Oleh itu manusia yang berjaya adalah manusia yang memiliki MATLAMAT yang jelas dalam hidup dan bidang yang mereka ceburi. 

MATLAMAT mereka itu sejelas mentari dipagi hari hingga menggesa dan membangunkan sikap dan kebiasaan yang akan mendekatkan mereka pada kejayaan yang ingin mereka capai. Mereka sentiasa MERANCANG masa dan kehidupan mereka supaya hari-hari yang dilalui dan umur yang bertambah semakin mendekatkan mereka kepada MATLAMAT yang ingin dicapai. Berdasarkan MATLAMAT dan PERANCANGAN itu mereka membina PRINSIP hidup yang dapat meneguhkan sikap dan pendirian mereka setiap kali berdepan dengan halangan dan penyimpangan dalam kehidupan dan dalam usaha untuk mencapai MATLAMAT dengan melaksanakan apa yang telah mereka RANCANG.


MATLAMAT, PERANCANGAN dan PRINSIP ini seterusnya membangunkan suatu kepribadian yang terikat dengan kebiasaan-kebiasaan yang akan mengekalkan mereka di atas jalan yang mereka pilih. Steven Covey menulis buku tentang 7 kebiasaan untuk mencapai kejayaan dalam bukunya manakala Dr Ibrahim Hamd Al Qu'ayyid yang juga kagum dengan buku ini lalu mendalaminya dan membandingkannya dengan sumber-sumber Islam. Beliau lalu menemui tulisan Syekh Abdurrahman Bin Sa'di rahimullah. Buku kecil ini benar-benar menambat hatinya kerana kandungannya ringkas tetapi padat dengan ilmu dan pengalaman. Ternyata Dr Ibrahim mendapati motivasi Islam jauh lebih lengkap. Katanya motivasi barat hanya menumpukan sudut mekanikal insani tetapi motivasi Islam turut menjangkau jiwa dan rohani, Dr Ibrahim Al Qu'ayyid menggabungkan pengalaman hidupnya beserta apa yang dia perolehi dari kedua buku ini [7 habits(Steven Covey) dan Sarana-Sarana Penting Untuk Menggapai Hidup Bahagia (Ibnu Sa'di Rahimullah)] lalu menghasilkan bukunya 10 Kebiasaan Manusia Berjaya Tanpa Batasan.

"Kejayaan adalah sejumlah kebiasaan yang harus dilakukan dengan baik kerana kebiasaan dan penerapannya atau pelaksanaannya dalam kehidupan itulah yang akan menentukan keberhasilan atau kejayaan seseoarang baik berkaitan dengan status sosial, kedudukan ataupun keahlian dalam melakukan tugas." Dr Ibrahim A' Qua'yyid.

Kita berjaya kerana kita memiliki kebiasaan yang hebat. Kebiasaan ini terbangun apabila kita melaksanakan suatu sikap atau pendirian secara berterusan hingga ianya menjadi sebahagian dari diri kita yang sebenar. Manusia yang membiasakan dirinya untuk pasrah dan tawakal, dalam apa keadaan dia akan menerima segalanya dengan redha dan alapang dada. Lalu dengan redha dan lapang dada ini ia memulakan langkah pembetulan dan kembali kemedan perjuangan, tentunya berbeza dengan manusia yang cepat putus sa dan kecewa. Manusia yang terbiasa merancang dan menguruskan masa dengan baik dalam apa jua suasana akan meneliti dan merancang masa untuk diperuntukan bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Dia tidak akan terbawa-bawa suatu masalah kecil dalam kehidupannya yang besar dan luas. 


Namun untuk melahirkan kebiasaan-kebiasaan ini bukanlah perkara yang mudah. Ianya memerlukan pemahaman dan latihan. Kata Dr Ibrahi Al Qu'ayyid, kebiasaan itu akan terbina kemas pada diri kita apabila kita memiliki kefahaman atau PENGETAHUAN yang mendalam berkaitan suatu kebiasaan. Kita memahami bagaimana kebiasaan itu akhirnya akan membahagiakan kita. Pengetahuan ini seterusnya menimbulkan KEINGINAN yang kuat untuk melaksanakan kebiasaan tersebut dalam kehidupan. Semakin kerap kita mengulanginya dan semakin AHLI kita dengan selok belok kebiasaan tersebut maka kebiasaan itu akhirnya akan mendarah daging dalam tubuh kita.

Saya pernah cuba untuk terapkan satu kebiasaan pada diri saya. Salah satunya ialah TIDAK BERTANGGUH. Saya tingkatkan pengetahuan saya; kalau saya suka bertangguh apa akibatnya dan apa pula kebaikannya kalau tidak bertangguh. Ternyata Bertangguh adalah satu penyakit jiwa dan tanda lemah keazaman. 

Ketika bangun pagi saya ternampak ada sampah di bawah meja, kalau biasanya saya kan katakan pada dii saya "tak apalah, nanti lepas mandi sebelum pergi kerja saya kan kutip semuanya" tetapi kali ini saya kuatkan keazaman untuk tidak bertangguh lalu saya terus kutip dan masukkan kedalam tong sampah. Perbuatanini nampak kecil tetapi rupa-rupanya ianya membuahkan keseriusan. Kalau dalam perkara ang kecil ini kita perlus serius maka dalam perkara yang lebih besar kita akan lebih serius. Setelah beberapa hari melaksanakan kebiasaan ini saya dapati banyak masalah-masalah yang dapat saya selesaikan. Itu baru satu kebiasaan biasa bukan satu dari 10 yang dikemukakan oleh Dr Ibrahim Al Qu'ayyid.

Kalau kita renungkan pada diri kita ternyata kadang-kadang kita melakukan sesuatu yang merugikan kita kerana kita sudah terbiasa dengannya. kalau kita sudah biasa bertangguh, banyak kerja-kerja kita yang tergendala kerana sikap kita itu. Memang kita tidak suka perkara itu berlaku tetapi kenapa ia masih berlaku? Ternyata kehidupan kita ditentukan oleh kebiasaan-kebiasaan kita yang salah. Oleh itu dengan membetulkan salah satu kebiasaan kita yang salah ini, kita sumpama sedang mengalih pergerakan hidup kita agar berada diatas landasan yang benar.


Saya ingin mengakhiri perbincangan saya ini dengan memtik tafsiran atau gambaran Dr Ibrahim Al Qu'ayyid berkaitan kejayaan yang ingin kita gapai.

"Kejayaan atau kesuksesan bukanlah sekadar konsep, prinsip ataupun pendapat-pendapat yang kita pelajari atau kita pernah dengar dari orang lain. Kejayaan atau kesuksesan ini adalah sebuah PROSES perjalanan dari pengalaman dan keahlian seorang manusia yang berlangsung terus menerus dalam jangka waktu yang panjang.

Oleh itu kata kunci kejayaan adalah usaha manusia dalam melakukan interaksi aktif dengan berbagai situasi dan keadaan yang ada pada waktu dan tempat tertentu sesuai dengan potensi dan kemampuan yang dimilikinya. Kejayaan atau kesuksesan adalah MEMBIASAKAN diri untuk hidup dengan cara tertentu, menghadapi berbagai persoalan dengan langkah yang efektif, membiasakan diri berinteraksi dengan sesama manusia dengan cara tertentu, membiasakan diri berinteraksi dengan masa dan membiasakan diri untuk menjalankan suatu kerjaya, pekerjaan atau tugas secara professional dan tepat.

Dengan kata lain, Kesuksesan itu adalah sejumlah kebiasaan yang harus dilakukan dengan baik kerana kebiasaan dan penerapannya itulah yang akan menentukan keberhasilan seseorang, baik dalam status sosial, kedudukan maupun keahlian dalam melaksanakan tugas.

Kesuksesan adalah sejumlah kebiasaan yang agung dan mulia yang harus dilaksanakan dengan upaya dan peruntukan masa yang besar serta memerlukan adanya kesabaran, tekad dan pengorbanan. Hasil kesuksesan ini merupakan hasil-hasil yang bersifat pasti dan dapat mengubah kehidupan manusia serta menjanjikan masa depannya menjadi masa depan yang istimewa dan berbeza."
(PENULIS : ABU HANIFAH)


Tiada ulasan: