Khamis, 27 Januari 2011

Sifat Pemurah Mendatangkan Keberkatan Hidup dan Kasih Sayang Allah S.W.T.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Nabi S.A.W maksudnya : "Seorang mukmin adalah orang yang mulia lagi pemurah dan orang fasik adalah penipu dan tercela." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sabda baginda lagi maksudnya : "Tidak pernah terkumpul sifat bakhil dan iman di hati seorang hamba." (Hadis Sahih Riwayat Nasa'i)

Sifat pemurah adalah sifat mahmudah yang sangat dituntut oleh Islam. Pepatah ada mengatakan " Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah". Kata-kata ini begitu sinonim dengan sifat dermawan seseorang itu. Sifat pemurah ialah sifat yang berada di tengah-tengah antara bakhil dan boros.



Sabda Rasulullah S.A.W.  bermaksud: "Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh daripada api neraka. Orang yang kedekut itu jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Rasulullah S.A.W. merupakan antara lelaki yang kaya kerana 1/5 daripada harta rampasan perang(ghanimah) adalah milik Baginda. Namun baginda tidak meninggalkan apa-apa harta selepas kewafatan baginda. Baginda merupakan seorang pemimpin yang pemurah mengamalkan budaya hidup setara rakyat jelata. Diriwayatkan bahawa bagida membahagikan harta rampasan perang miliknya dalam masa tidak sampai satu jam kepada sahabat-sahabat yang memerlukannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Sukakan harta (hubbul Mal) merupakan fitrah semulajadi manusia, sebagai alat bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Namun untuk mencapai kebahagiaan itu ialah dengan banyak memberi sumbangan, sedekah dan untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah dan bukan membelanjakan harta untuk diri sendiri dan keluarga semata-mata.

Harta yang dibelanjakan di jalan Allah S.W.T. adalah seolah-olah kita berniaga dengan Allah S.W.T. dan sesungguhnya tidaka akan rugi sesiapa yang menjalankan perniagaan dengan Allah S.W.T.

Selain itu, Islam sangat menganjurkan kepada penganut-penganutnya menjadi pemurah. Bukan sekadar sanggup mengorbankan yang wajib sahaja. Mereka digalakkan bersedekah, menderma, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan, kenderaan dan lain-lain lagi agar cepat masyarakat Islam terbangun.

Hasilnya kelak, yang sedang maju akan bertambah maju. Yang kurang maju akan jadi maju. Yang kurang, dapat dicukupkan. Yang koyak dapat ditampal. Yang lemah dapat dikuatkan. Yang tidak sempurna dapat disempurnakan. Yang tidak sudah, dapat disudahkan. Yang tidak mampu, dapat hidup bersama-sama dengan orang yang mampu. Agar yang sedih menjadi ceria semula. Yang terbiar dapat dibela. Juga agar fakir miskin tidak sengsara, anak-anak yatim terbela dan janda-janda dapat dijaga.

Sifat-sifat pemurah terutama daripada orang-orang kaya dan berada akan menyebabkan masyarakat Islam terbela. Masyarakat Islam akan cepat maju dan kasih sayang akan terjalin. Hubungan antara orang kaya dan miskin semakin rapat. Tidak ada orang yang terbiar. Akan wujud perpaduan dan kerjasama. Tiada lagi jurang. Sudah tentu kadar jenayah juga akan berkurangan. Maka semua orang akan hidup dalam aman bahagia, murni dan harmoni. Itulah kesan daripada sifat pemurah dan tawaduknya orang-orang kaya. Banyak masalah masyarakat dapat diselesaikan. Sebab itulah sifat pemurah sangat dikasihi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bahkan dikasihi juga oleh semua orang.

Firman Allah SWT maksudnya : "Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah ayat 195)

Sahabt yang dikasihi,
Ingatlah! Dengan sifat pemurah kalian tidak akan menjadikan papa. Bersedekahlah selalu kerana setiap amalan tidak akan menjadi sia-sia. Dan jadikanlah pemurah itu budaya hidupmu, kalian akan dekat dengan Tuhan, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dengan neraka.

Sifat bakhli, jauh dengan Tuhan, jauh dengan manusia, jauh dengan syurga dekat dengan neraka. Sifat pemurah itu menghilangkan hangat kubur, penaung di Padang Mahsyar dan penutup aurat di akhirat.

Orang pemurah selalunya di hujung umurnya dapat hidayah sebaliknya orang bakhil walaupun ahli ibadah, selalunya su'ul khatimah (kematian yang buruk). Pemurahlah, ia akan menambah rezeki, menambah harta, memajukan negara, pembersih jiwa, membuang ego, dan di sukai dan dikasihi Allah S.W.T.

Bila sifat pemurah sudah hilang di dalam kehidupan datanglah kemurkaan Allah. Akibatnya, akan ditimpa bermacam mala petaka dan akan menjadi papa kedana, saudagar akan muflis kerana rugi dalam perniagaan, orang kaya kehilangan hartanya tidak tahu puncanya. Pemerintah dan pentadbir pening kepala kerana tidaka ada keberkataan, bala datang silih berganti, rakyat akan menderita dan kesetabilan dalam masyarakat tidak wujud. Oleh itu jauhilah dosa dan hidupkan semula sifat pemurah hingga ianya menjadi budaya dan pembahagiaan harta kekayaan di dalam masyarakat akan berlaku.

Sahabat yang dikasihi,
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Adapun hamba-hamba TuhanYang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan dimula bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan "salam" (Surah al-Furqan ayat 63)

Marilah kita sama-sama merenung segala sifat yang perlu ada pada mereka yang ingin menjadi hamba Allah yang pengasih dan pemurah. Cuba tanya dan muhasabah diri kita adakah semua sifat itu sudah ada ataupun semuanya belum tersemat lagi di dalam kita.

Marilah kita sama-sama melakukan reformasi diri ke arah yang lebih terbaik daripada hari-hari semalam yang telah berlalu. Hari kematian kita tidak tahu, begitu juga dengan segala amalan kita adakah diterima ataupun tidak. Oleh itu kita hendaklah sentiasa menambah amalan serta memastikan segala sifat yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah dan al-Furqan di atas itu mampu kita hayati bersama. Yakinlah kita bahawa setiap sesuatu yang diberitahu oleh Allah di dalam kitab suci Al-Quran bukanlah sesuatu yang hanya berbentuk teori tetapi ia mampu dibuat dan diamalkan oleh hamba-hamba-Nya yang beriman dan sentiasa mengamalkan segala apa yang terkandung dalam Al-Quran.
PENULIS : USTAZ ABU BASYER

Hati Orang Mukmin Adalah Hati Yang Bersih , Tegas dan Lemah Lembut.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berkata Wahab bin Munabbih, bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Ta’ala telah berfirman maksudnya : 'Sesungguhnya semua petala langit-Ku dan bumi-Ku menjadi sempit untuk merangkul-Ku, akan tetapi Aku mudah untuk dirangkul oleh qalb (hati) hamba-Ku yang Mukmin'.” 
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sebaik-baik hati adalah hati orang mukmin iaitu hati yang bersih, tegas dan lemah lembut . Sesungguhnya dengan ketiga-tiga sifat ini jadilah ia seorang mukmin yang dikasihi oleh Allah S.W.T.

Saiyidina Ali berkata : "Adapun Allah S.W.T.  di muka bumi ini mempunyai bejana-bejana; iaitulah hati manusia. Sebaik-baik hati ialah yang bersih, tegas dan lemah lembut. Kemudian beliau menjelaskan pula; Maksudnya, bersih dalam keyakinan, tegas dalam urusan agama, dan lemah lembut dalam pergaulan dangan kaum Muslimin."

Pertama : Hati yang bersih dalam keyakinan.

Yang dimaksudnya dengan keyakinan, ialah keteguhan dan penguasaan iman di hati, sehingga menimbulkan ketenangan, sebagaimana yang dipohonkan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah S.W.T.  sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kita oleh Al-Quran. Firman Allah S.W.T. maksudnya ; "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata : 'Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.' Allah berfirman, 'Belum percayakah engkau?' Dia (Ibrahim) menjawab, 'Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang (mantap)" 

(Surah al-Baqarah ayat 260)

Kini nyatalah, bahawasanya keyakinan itu puncak keimanan dan kesudahannya.
Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Keyakinan itu adalah keseluruhan iman."

Lantaran itu, tiada sesuatu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. dari langit yang sifatnya lebih mulia dan lebih berharga daripada keyakinan. Memadailah jika keyakinan itu saja menjadi harta benda manusia.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Pohonkanlah keyakinan dan keselamatan dari Allah S.W.T., kerana tiada sesuatu kurnia yang lebih utama sesudah keyakinan daripada keselamatan."

Ingatlah! Sebaik-baik hati yang dikasihi oleh Allah Ta'ala, ialah hati yang suci murni dari segala macam kebatilan dan keraguan, bersih dari aneka rupa kejahatan, hati yang sentiasa tunduk yang hak dan petunjuk yang diliputi oleh kebajikan dan kebaikan.

Hati seorang mukmin adalah hati yang tidak ada selaput dengan syak wasangka, hatinya bersih, sihat dan terang benderang umpama lampu yang menerangi sekelilingnya. Sesungguhnya hati seorang musrik adalah hati yang hitam, kotor dan busuk walaupun pada lahiriahnya nampak baik. Lebih teruk lagi hati seorang munafik, hatinya terbelenggu di atas kulitnya. Hati yang penuh dendam kesumat kepada orang-orang beriman, hatinya berpenyakit dan Allah S.W.T tambah lagi penyakitnya. Hatinya juga umpama setumpuk kudis yang diselaputi nanah dan darah busuk.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Bahawasanya iman itu mula muncul di hati sebagai sinaran putih, lalu ia membesar sehingga seluruh hati itu menjadi putih. Sedang nifaq pula, mula muncul di hati seperti setitik-titik hitam, lalu merebak sehingga seluruh hati itu menjadi hitam."

Mudah-mudahan Allah S.W.T.  pelihara kita sekalian daripada bahaya nifaq, serta diakhiri hayat kita menjadi seorang mukmin yang dikasihi Allah S.W.T.

Sesungguhnya iman itu akan bertambah dengan sentiasa mengerjakan dan membanyakkan amalan-amalan yang soleh dengan sepenuh ikhlas kepada-Nya. Manakala nifaq pula akan bertambah dengan bertambahnya amalan-amalan yang jahat, seperti meninggalakan perkara-perkara yang wajib dan melakukan perkara-perkara yang ditegahkan oleh agama.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Sesiapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam. Kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak, sehingga muka hatinya menjadi hitam."

Hadis ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. maksudnya : "Bahkan telah termetrai dimuka hati mereka apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Mutahffifun ayat 14)

Memanglah, tiada sesuatu yang bencana dan mudaratnya lebih berat ke atas manusia di dunia dan akhirat daripada dosa. Sebab seseorang manusia tidak akan disentuh kecelakaan atau ditimpa kesusahan, melainkan tersebab oleh dosanya sendiri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tiada akan menimpa kamu sesuatu kecelakaan melainkan disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri." (Surah as-Syura ayat 30)



Oleh itu, maka hendaklah setiap mukmin itu berjaga-jaga supaya tiada melakukan dosa, malah sentiasa menjauhkan diri daripadanya. Andainya telah terlanjur melakukan sesuatu dosa, maka hendaklah menyegerakan taubat kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa menerima taubat hamba-hambanya serta mangampunkan segala dosa mereka, sedang Dia Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Barangsiapa yang tiada bertaubat, maka mereka itu adalah orang-orang yang teraniaya." (Surah al-Hujarat ayat 11)

Maksud mereka telah menganiaya diri sendiri adalah dengan mendedahkannya kepada kemurkaan Allah S.W.T., disebabkan mereka telah tecebur ke dalam maksiat, malah terus melakukan maksiat itu tanpa bertaubat. Padahal Allah S.W.T. telah menganjurkan kepada kita untuk bertaubat serta berjanji akan menerima taubat mereka.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Kitab ini (al-Quran) diturunkan oleh Allah Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui, yang mengampuni dosa dan menerima taubat, sangat keras hukuman-Nya, yang memiliki karunia. Tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nyalah (semua makhluk)  kembali." (Surah Al-Mu'min ayat 2- 3)

Cubalah renungkan ayat ini dan perhatikan maksud yang terkandung di dalamnya dari pengertian yang mulia dan rahsia yang amat berkesan, yang boleh membangkitkan perasaan takut dan harapan serta gemar dan gerun dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tiadalah yang mengambil peringatan, melainkan orang yang kembali (ke pangkal jalan). Maka serulah Tuhan dengam penuh tulus-ikhlas, beragama kepadaNya." (Surah al-Mu'min ayat 13-14)

Kedua : Tegas dalam agama.

Kita perlu tegas dalam agama, ialah berpegang-teguh dengannya serta bersedia membelanya, berani berkata benar walaupun pahit, dan tiada gentar orang untuk mempertahankan yang hak. Dengan sifat inilah, Allah S.W.T. telah memuji pencinta-pencinta-Nya dalam firman-Nya yang bermaksud : "..yang berjihad  di jalan Allah dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela." (Surah al-Maidah ayat 54)

Rasulullah S.A.W. pernah mensifatkan Saiyidina Umar Ibnul-Khattab dengan sifat yang sama dalam sebuah sabdanya yang bermaksud : "Orang yang amat teguh dalam menjalankan perintah Allah ialah Umar. Semua kata-katanya benar, lantaran itu ia tidak punya rakan di antara orang ramai."

Benarlah Saiyidina Umar adalah orang yang amat tegas di antara kaum muslimin dalam menjalankan perintah Allah S.W.T. dan berpegang teguh dalam menguruskan semua urusan agama, terhadap dirinya sendiri mahupun orang lain. Beliau dijadikan contoh dan tauladan dalam keadilan, dan dalam memerintah mengejarkan kebajikan dan mencegah melakukan kejahatan. Beliau sentiasa berdiri atas yang hak dan benar terhadap rakan dan lawan. Semoga Allah S.W.T. reda terhadapnya dan reda terhadap  para sahabat Rasulullah S.A.W. umumnya.

Ketiga : Berlemah lembut dalam pergaulan dengan kaum muslimin."


Adapun hati yang lemah lembut dalam pergaulan sesama mukmin itu adalah melengkapkan diri dengan sifat belas-kasihan, cinta dan sayang terhadap sesama mukmin, kerana yang demikian itu adalah semulia-mulia akhlak dan setinggi-tinggi budi luhur.

Dengan sifat itulah Allah S.W.T.  telah memuji-muji Rasulullah S.A.W. di dalam firmanNya: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari segolongan kamu, yang mengambil berat terhadap penderitaan kamu, penuh keinginan terhadap (keselamatan) kamu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman." (Surah at-Taubah ayat 128)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Orang-orang yang mengasihi (orang lain) akan dikasihi Tuhan Pemurah. Sesiapa yang tidak mengasihi (orang lain) tidak akan dikasihi Tuhan."

Sabdanya lagi: "Sesungguhnya orang-orang yang terutama dari umatku tidak akan masuk syurga kerana banyak solat atau banyak puasa. Akan tetapi (mereka akan masuk syurga) kerana bersih hati, murah hati dan berbelas-kasihan terhadap setiap muslim."

Maksud Hadis ini tidaklah menunjukkan bahawa para mukmin itu kurang mengerjakan ibadat seperti solat dan puasa. Malah sebaliknya, mereka sentiasa memperbanyakkan ibadat solat dan puasa serta melakukan  amalan yang soleh yang lain. Akan tetapi umat baginda akan masuk syurga kerana sifat mulia yang mereka miliki iaitu bersih hati, murah hati dan perasaan  belas kasihan sesama mukmin. Kerana sifat-sifat ini amat di sukai oleh Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menjaga hati kita supaya menjadi bersih, tegas dan lemah lembut. Kita  semak balik hati kita adakah ianya cenderung untuk melakukan kebaikan dan taat di samping akan menjauhkan perkara yang ditegah dan maksiat?. Jika masih kekal untuk mencintai kebaikan alhamdulillah. Tetapi jika hati kita masih cenderung untuk melakukan kemungkaran atau reda dengan maksiat maka berhati-hatilah itu petanda kita akan jauh daripada Allah S.W.T. maka perbaikilah segera hati kita jangan ditangguh-tangguhkan lagi.
PENULIS : USTAZ ABU BASYER