Ahad, 21 Oktober 2012

Sekilas Renungan

Sekilas Renungan ( solat 5 waktu kita??? )

Solat lima waktu pada hakikatnya mengingatkan diri kita kepada alam akhirat. Jadikan tikar solat, di kanan syurga, di kiri neraka, di hadapan timbangan amal dan di belakang syaitan musuh yang dahsyat. Maka kita akan memujuk pada diri sendiri: ”Jangan bersedih atas musibah di dunia kerana kengerian dan kedahsyatan akhirat lebih menakutkan berbanding dengannya.”Khusyuk bukan pada solat sahaja tetapi dalam sedekah ada khusyuk, dalam membaca Al-Quran ada khusyuk, puasa dan hajipun ada khusyuk. Kesedaran hati tentang kehadiran dan pengamatan Allah kepada kita itulah dia khusyuk. Betapa indahnya seseorang yang sentiasa diperhatikan kekasihnya, didengar segala keluhannya, dijanjikan dengan syurga yang penuh kenikmatan serta disembuhkan lukanya dengan kepuasan beribadat kepada-Nya:-)

Solat adalah komunikasi antara seorang hamba dengan Allah SWT yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan bahagia. Solat yang benar-benar diterima mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.Solat yang sempurna juga melahirkan natijah kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dalam firman-Nya; "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya." (al-Mukminun: 1-2)



Sekilas Renungan ( Buang Masa.....kah kita??? ) 

Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar dari pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan yang baik atau yang buruk. Kawan yang jahil atau soleh, situasi yang mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan!

Suka membuang masa. Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, akan tetapi apabila terlalu berlebihan ia bahkan boleh membunuh. Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian; Satu untuk Allah SWT, yang kedua untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya, dan yang ketiga untuk keluarga dan umatnya:-)


Sekilas Renungan ( suamiku... ouh suamiku... *)

Mengapa seorang suami begitu sayang kepada isteri dan sebaliknya? Mengapa pula anak-anak yang soleh rela menanggung susah menjaga kedua ibu bapa? Mengapa kita mahu berkorban untuk mengikat tali persaudaraan dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat seperjuangan? Mengapa dunia ini aman dan damai, walaupun berbilang bangsa dan kaum, adat dan kepercayaan manusia? Jawabnya hanya satu iaitu kerana rahmat Allah telah diturunkan ke atas dunia ini.Jika kita kehilangan rasa ingin mencintai, sesungguhnya rahmat Allah itu telah tercabut dari hati. Isteri yang membenci suaminya atau sebaliknya, anak yang derhaka kepada kedua orang tua, orang yang bengis dan kasar, angkuh lagi sombong, zalim kepada sesama manusia, mereka ini telah terkeluar daripada senarai pilihan orang-orang yang mendapat limpahan rahmat Allah!

Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: ”Allah Taala memiliki seratus rahmat. Satu di antaranya diturunkan untuk sekalian makhluk sehingga mereka berkasih-kasihan sesama mereka. Dan yang sembilan puluh sembilan lagi disimpan untuk hari kiamat.” (Hadith Riwayat Muslim)




Sekilas Renungan ( Nilai seorang sahabat )

Salah satu perkara yang paling berharga di dalam kehidupan ini adalah persahabatan yang ikhlas. Ia tidak mudah untuk dimiliki melainkan oleh mereka yang ikhlas mahu mewujudkannya. Jika Allah telah mencantumkan hati-hati manusia tiada siapa boleh menghalangi mereka mengecapi nikmat persahabatan itu. Antara akhlak persahabatan yang paling rendah ialah sedia memaafkan saudara kita, manakala yang tertinggi pula menolong sepenuh hati jika dia memerlukan kita untuk berada di sisinya. Sahabat yang terbaik adalah mereka yang bersungguh-sungguh mengajak kita mengecapi kasih sayang hingga ke akhirat. Sahabat di dunia dan akhirat menjadi slogan yang indah dan tak terlupakan. Hanya dengan ikatan itu kita mampu mengecapi rahmat Allah bersama saudara-saudara seiman:-)

Rasulullah SAW juga menyeru umatnya untuk saling mencintai dalam sabdanya yang bermaksud: Tidaklah sekali-kali dua orang lelaki saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah itu adalah yang paling kuat kecintaannya kepada saudaranya.” (Hadis riwayat al-Tabrani)