Jumaat, 21 Januari 2011

TEMAN DAN ULAR BERBISA

Bukanlah sesuatu yang hina apabila banyaknya keburukan pada diri kita. Bahkan semua keburukan itu tumbuh melalui persekitaran hidup dimana kita lahir dan membesar. Tidak ada manusia yang maksum selain Rasulullah SAW. Namun yang menjadikan kita hina apabila kita merasa selesa serta tidak cuba merawat atau menanggalkan segala keburukan hingga keburukan itu mencorakkan syakhsiyah dan identiti kita.

Keburukan diri sendiri disifatkan oleh imam Al Ghazali sebagai 'ular dalam selimut' ia hanya menanti hari untuk membinasakan jiwa kita hingga akhirnya kita tersungkur hina di depan Allah SWT. Bisanya ular ini bukan kerana racunnya yang merosakkan fizikal kita tetapi ianya mampu mematikan jiwa kita hingga tiada lagi kemuliaan dan kecintaan pada kebenaran dan keimanan. Apalagi yang boleh kita banggakan didepan Allah SWT ketika hari pengadilan nanti jika seluruh amal dan pengorbanan kita tidak diterima kerana rosaknya keihklasan kita.

Saya teringatkan satu hadith yang benar-benar menimbulkan rasa takut dan cemas ketika saya kali pertama membacanya.


Dari Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda:

Pada hari kiamat nanti di antara orang yang paling pertama dibuat keputusan terhadapnya; Di antara mereka ialah seorang yang telah syahid. Orang ini akan dibawa di hadapan Allah SWT. Allah SWT akan menyatakan nikmat-nikmatNya yang telah dikurniakan terhadapnya dan dia mengakuinya. Kemudian Allah SWT akan berfirman: Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat ini?

Dia akan menjawab: Aku telah berperang untuk mendapatkan redhaMu sehingga aku telah syahid. Allah SWT akan berfirman: Engkau berbohong. Engkau telah berjihad supaya orang menggelar kamu sebagai seorang yang berani dan yang demikian itu telah pun diperkatakan. Kemudian dia akan diperintahkan untuk diseret di atas mukanya dan akan dilemparkan ke dalam nereka Jahanam.

Orang kedua ialah dia yang telah mempelajari ilmu agama dan mengajarkannya kepada orang lain dan dia membaca Al-Quran. Dia dibawa di hadapan Allah SWT . Orang ini akan dibawa di hadapan Allah SWT. Allah SWT akan menyatakan nikmat-nikmatNya yang telah dikurniakan terhadapnya dan dia mengakuinya. Kemudian Allah SWT akan berfirman: Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat ini?

Dia akan berkata: Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarnya kepada orang lain dan untuk mendapat redhaMulah aku telah membaca Al-Quran. Allah SWT akan berfirman: Kamu bohong. Kamu pelajari ilmu supaya orang menggelarmu ‘alim’ dan membaca Quran supaya orang memanggilmu Qari. Kemudian dia akan diperintahkan untuk diseret di atas mukanya dan akan dilemparkan ke dalam neraka Jahanam.

Orang ketiga ialah orang kaya yang didunia dulu telah diberi kemewahan dan segala bentuk harta benda. Dia akan dibawa di hadapan Allah SWT . Orang ini akan dibawa di hadapan Allah SWT. Allah SWT akan menyatakan nikmat-nikmatNya yang telah dikurniakan terhadapnya dan dia mengakuinya. Kemudian Allah SWT akan berfirman: Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat ini? 

Dia akan menjawab: Apa saja saluran yang Engkau suka supaya dilakukan perbelanjaan padanya, semuanya telah aku belanjakan padanya harta-hartaku yang telah Engkau anugerahkan itu keranaMu. Allah SWT berfirman: Engkau bohong. Kamu telah berbelanja supaya digelar sebagai dermawan dan yang itu telah pun diperkatakan. Kemudian dia akan diperintahkan untuk diseret di atas mukanya dan akan dilemparkan ke dalam neraka Jahanam. (Hadith Riwayat Muslim)
Siapalah kita untuk dibandingkan dengan orang yang mati syahid? Tetapi kerana rosakknya amalan hati maka orang yang mati syahidpun akan dihumbankan ke neraka Allah SWT apatah lagi kita terlalu sedikit amalannya dan belum tentu keikhlasannya.

Seorang yang yakin akan hari perhitungan ini tentunya begitu gembira apabila ada saudaranya atau temannya datang lalu memberitahu keburukan yang ada pada dirinya. Disaat itu ia menyedari kelemahannya lalu berusaha merawatnya. Alangkah gembira dan berterima kasihnya ia pada temannya. 

Persoalannya adakah begitu sikap kita apabila menerima kritikan? Kata Imam Ghazali "Seorang mukmin akan mengambil pengajaran walaupun dari lisan/lidah musuh". jika ada seorang yang memusuhi kita datang dengan sepuluh cacian maka seorang mukmin akan mendengarkannya baik-baik. Mungkin satu dari padanya itu betul dan sekiranya betul maka ia masih mempunyai masa untuk bertaubat dan menanggalkan dari hati kita sebelum ia dipanggil pulang mengadap Allah SWT.

Siapalah kita untuk merasakan diri kita sempurna tanpa cela? Siapalah kita untuk merasakan diri kita bersih tanpa kesalahan dan kecuaian? Bukankah Allah SWT pernah berfirman dalam satu hadith Qudsi: 

"Wahai hambaKu sesungguhnya kamu ialah orang yang melakukan kesalahan malam dan siang dan Akulah yang mengampunkan semua dosa, maka minta ampunlah kepada Ku maka akan Ku ampunkan dosa kamu."


Oleh itu, marilah kita melazimi taubat kita kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada insan yang berani dan sanggup menegur kelemahan yang ada pada diri kita. Saya pernah menangis di depan seorang sahabat yang saya rasakan sebagai abang saya sendiri. Setiap kali bertemu, dia akan memuji kebaikan yang ada pada diri kita hinggalah satu hari tanpa saya sedari saya menangis dan bertanya "Adakah ini (pujian) yang paling dihajati oleh seorang teman, bukankah Saidina Umar RA menyifatkan teman yang suka memuji ini adalah teman yang menikam dari belakang. Tikaman ini tidak mematikan jasad tetapi mematikan jiwa serta merosakkan amal."

Saidina Umar sendiri merupakan seorang yang garang dan tegas. Ketika dia menjadi khalifah ia selalu menguji sahabat-sahabat lain. Saidina Umar RA sering mengemukan pandangan lalu meminta persetujuan sahabat-sahabat yang lain. Tentunya sahabat-sahabat lain cepat bersetuju tanpa bangkangan. lau kata Saidina Umar RA "Kenapa begitu, bagaimana kalau pandangan aku ini salah, siapakah yang akan menolongku di Akhirat nanti.

Carilah teman yang 'sampai hati' menyatakan keburukan kita bukan menjaga hati kita dengan menyembunyikan segala keburukan kita. Berlatihlah untuk berterima kasih kepada orang yang menegur atau mengkritik kita walaupun teguran itu kasar dan tidak berhikmah bahkan jika kritikan itu datang dari orang yang terlalu muda berbanding kita sekalipun.
(penulis : ABU HANIFAH)

Menanti Keajaiban

Hidup ini kadang-kadang umpama medan peperangan. Musuh boleh muncul bila-bila masa sahaja. Sekejap tadi kita baru saja menarik nafas lega tetapi belum sempat nafas itu dilepaskan semula suasana gawat muncul tiba-tiba. 

Begitu juga dengan kehidupan kita, ketika ketenangan datang menyapa mesra tiba-tiba sahaja fitnah dan ujian menerpa. Ketika kita dengan susah payah meneguk erti kebahagiaan kini keresahan dan kegelisahan mengintai dengan penuh rasa cemburu dan iri hati. Baru sekejap tadi kita melihat lautan kehidupan begitu luas bersama cahaya mentari yang menerangi horizon diri tetapi kini awan hitam mula menutupi pandangan bersama dentuman kekecewaan. Keresahan mula mengisi ruang hati apabila ketenangan mula mengundur diri.

Kitapun sedar bahawa dunia ini pentas ujian. Kita cuba pasrahkan diri namun kepasrahan itu sendiri tidak semudah ungkapan madah pujangga. 


Disaat ini kita benar-benar menanti keajaiban. Kita panjatkan munajat keinsafan disetiap ruang dan kesempatan. Zikir tidak lekang dari mulut sedang hati kita penuh dengan pengharapan. Ya, pengHARAPAN itulah yang masih kita miliki ketika kita di puncak penderitaan dan kekecewaan. Harapan itulah yang akan menemani sesiapa sahaja yang terumbang ambing di lautan hidup. Dan HARAPAN itu tak pernah mungkir untuk setia bersama kita ketika apa saja dan sebesar mana musibah yang datang menimpa. Mungkin kerana itulah fitrah insan, bahkan atheis (mulhid) yang tak percayakan tuhanpun apabila terumbang ambing dipukul gelombang tanpa disedari akan mula menggenggam harapan agar dirinya terselamat.

Cuma mungkin kerana kita tersalah sandarkan harapan kita pada bukan tempatnya maka harapan kita berakhir dengan kekecewaan dan keputus asaan. Ataupun kita sandarkan pada tempat yang betul namun bukan dengan sepenuh keyakinan maka hasilnya masih keraguan dan keputus asaan. Tetapi jika HARAPAN itu kita sandarkan kepada DIA yang menjadikan alam dan makhluk sekeliannya, DIA yang mentadbir alam dan isinya dan DIA yang Maha tinggi kasih sayang dan keadilannya maka tentunya kita akan menemui suatu keajaiban yang pernah ditemui oleh umat terdahulu yang berdepan dengan musibah dan ujian yang berkali ganda lebih hebatnya dari apa yang sedang kita hadapi. (PENULIS : ABU HANIFAH)