Ahad, 23 Januari 2011

KEMAHUAN DAN HARAPAN



Saya tidak dapat membayangkan kehidupan tanpa kemahuan dan harapan. Jika ada kehidupan tanpa keduanya tentu kehidupan itu adalah kehidupan yang kosong, hampa, kaku serta tiada warna dan coraknya. Jika ada manusia yang hidup tanpanya tentu kehidupannya terlalu hambar, penuh dengan kekecewaan, sunyi dari ketenangan apatah lagi kebahagiaan. 

Saya tidak sanggup untuk hidup dengan keadaan ini kerana saya tidak dapat menemukan sebarang perbezaannya dengan kematian. Saya tidak melihat sesuatu jiwa itu hidup tanpa ada kebangkitan dan kesedaran kerana bukan fitrah kehidupan itu kaku dan mati. Saya tidak melihat sesuatu itu hidup tanpa perubahan dan pergerakan kerana perubahan & pergerakan ialah nadi kehidupan itu sendiri. 

Namun untuk bangkit dan sedar, untuk berubah dan bergerak modalnya ialah kemahuan dan harapan. Manusia yang tidak memiliki harapan tidak akan melakukan seuatu perubahan untuk dirinya apatahlagi untuk orang lain. Manusia tanpa kemahuan ialah manusia yang bertemu hari hari yang sama di dalam kehidupannya; tidak ada hari-hari yang baru melainkan hari-hari suram yang menjemukan. 
 (PENULIS :ABUHANIFAH )

Tiada ulasan: